Wednesday, March 9, 2011

lepoh waterfall


kawan2 jom pi layan trekking pas tuh kubang kat air terjun lepoh...mau ngak?...

nak menceritakan pasal Lepoh aku x tau sbb lom pegi lagi so aku cari artikel tuk korang sumer baca kasi timbul keinginan nak pegi he3...sila baca yer....

Ini aku copy paste jer artikel dr utusan malaysia...


Bersama rakan-rakan, saya memilih untuk menjejaki laluan ke Air Terjun Lepoh yang terletak jauh di pedalaman Hulu Langat, Selangor yang penuh keheningan dan ketenangan.
Sebuah masjid di Batu 14, Hulu Langat menjadi pertemuan tujuh insan. Pekan kecil itu agak sibuk dengan pasar tani dan jalannya sesak dengan pelbagai kenderaan. Hati begitu teruja apabila terpandang sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi. Deruan enjinnya sahaja sudah cukup membuat hati saya tidak keruan. Mungkin mereka ingin menguji ketangkasan mengendali jentera perkasa berharga puluhan ribu ringgit melalui jalan raya bengkang-bengkok ibarat ular kena palu menghala ke daerah Jelebu di Negeri Sembilan.
Abod yang sering bersama saya mendaki di pelbagai puncak sehingga sejauh Gunung Kinabalu di Sabah akan jadi penunjuk jalan. Kami yang menaiki kereta dan van kemudiannya meninggalkan kawasan masjid dengan menempuh beberapa lokasi lain di sepanjang jalan menuju ke Batu 18. Keadaan jalan raya sibuk dengan sejumlah kenderaan membelok ke arah Hutan Lipur Sungai Congkak, antara kawasan perkelahan utama di sini.
Kami meneruskan perjalanan sebelum membelok ke arah sebuah jalan bitumen yang sempit. Jalan raya itu akhirnya membawa kami ke sebuah kawasan perkelahan dan perkhemahan milik persendirian yang telah dibangunkan dengan pelbagai kemudahan. Di samping jeram semula jadi yang mengalir agak deras, tuan punya tanah ini turut mengalirkan air dari sebelah hulu untuk membentuk air terjun buatan yang menarik. Kawasan tersebut turut menerima sentuhan landskap dengan pelbagai tumbuhan hiasan dan pepohon buah-buahan.
Dua rakan lain iaitu Hamdan bersama anak saudaranya menyusul kemudian. Kami memulakan perjalanan ketika jam di tangan saya menunjukkan pukul 11 pagi. Cuaca agak panas, namun kami bernasib baik berjalan menempuh laluan yang berpayungkan pepohon kayu yang berkanopi lebat. Kami turut menyeberang beberapa titi kayu yang merentangi jeram yang mengalir bengkang-bengkok.
Kiri dan kanan jalan sempit yang kami tempuhi itu turut subur dengan pelbagai pohon buah-buahan seperti cempedak, manggis dan durian. Di samping itu, pohon-pohon rambutan dan pulasan yang tumbuh rendang turut kelihatan. Walaupun kedua-dua pokok itu nampak sama tetapi sebenarnya tidak serupa. Buah pulasan yang agak kurang dikenali di pasaran berkulit tebal dan daunnya pula lebih tirus berbanding dengan pokok rambutan.
Pokok-pokok getah muda turut kami temui tatkala menjejaki laluan. Pepohon tersebut diselangi dengan tanaman kontan seperti pisang dan sayuran. Berjalan di kawasan ini mengingatkan saya ketika berada di kawasan desa. Baik Utara mahupun Selatan, baik Timur mahupun Barat, pemandangan seumpama ini tidak pernah hilang dari ingatan. Kehijauan dan ketenangan yang kami rasakan sukar digambarkan dengan kata-kata, ditambah pula dengan kehadiran banjaran gunung yang menghijau yang turut memeriahkan suasana.
Senario alam yang kami tempuhi berubah perlahan-lahan. Kini, tiada lagi kebun dengan pepohonnya yang ditanam orang memonopoli alam. Kami mula melewati kawasan hutan dengan pepohon kayu yang tinggi menjulang. Kanopi tebalnya menyaring hampir keseluruhan cahaya matahari yang menyinar terang. Segala-galanya begitu suram dan penuh misteri dengan pelbagai bentuk flora yang mendominasi persekitaran.
Paip besi yang panjangnya entah berapa kilometer mengalirkan air ke bahagian hilir turut kami temui. Entah bila agaknya struktur tersebut dibina, mungkin puluhan tahun yang lampau. Permukaannya licin dan berkarat. Lumut hijau turut membaluti paip yang dingin dan lembap itu. Sebuah bangunan yang dindingnya separuh batu dan selebihnya kayu juga kami temui. Menurut Abod, bangunan tersebut pernah menjadi tempat persinggahan pekerja yang menyelenggara sebuah kunci air yang dibina berhampiran. Bangunan itu kini terbiar mereput sendiri dengan bahagian dalamannya kotor dengan pelbagai sampah sarap. Banyak juga bahagian strukturnya yang dimamah usia, mungkin bangunan itu akan rebah menyembah bumi akhirnya.
Perjalanan menempuh sedikit kawasan mencanak itu akhirnya terhenti di sebuah air terjun dengan kolam cetek menadah bahagian bawahnya. Kami sampai di Air Terjun Lepoh setelah berjalan kaki selama sejam setengah. Agak ramai juga yang berkunjung ke situ. Mata tertumpu kepada sekumpulan jurugambar yang sedang sibuk merakam imej seorang model yang berpakaian bikini. Mereka begitu tekun dengan kamera pelbagai jenama sambil salah seorang darinya memegang sekeping pembalik cahaya.
Kami beramai-ramai berendam di dalam kolam yang dingin lagi menyegarkan. Lebah spesies Apis cerana dan Apis dorsata banyak kelihatan di kawasan air terjun itu. Apis dorsata yang lebih besar saiznya dikenali ramai sebagai lebah tualang kerana sering dijumpai membuat sarang pada dahan-dahan pokok yang terkenal dengan ketinggiannya itu. Seekor ular sawa, Phyton reticulatus turut mencuri perhatian. Saya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan imej haiwan yang sering digeruni yang berlengkar di atas batu tidak jauh dari tempat kami mandi.

1 comment:

  1. xde keputusan lg ke nak kumpul mane ahad ni?..

    ReplyDelete

Search This Blog